Begitulah soalan yang ditekankan oleh Nabi dalam kehidupan keluarga terutama anak kecil. Anak-anak ini seharusnya sentiasa diingatkan tentang solat. Sehingga kita tiada nanti, terpahat dalam ingatan mereka bahawa ayah atau ibunya sentiasa mengingatkan dirinya tentang solat. Baginda Nabi bukan sahaja mengingatkan anak kecil tentang solat, bahkan, anak yang telah dewasa (dan yang telah berkahwin) juga diingatkan tentang solat.
Ini selari dengan firman Allah yang menyebutkan:وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا“Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini).” Surah Taha: 132. Menurut al-Imam al-Qurtubi, setelah turunnya ayat ini, Rasulullah ﷺ akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, menyeru mereka supaya menunaikan solat.
Lihatlah bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran, al-Qahirah, 1964, 11/263). |